Assalammualaikum dan selamat pagi semua, hari ni nak bagitahu tentang permainan yg melatih anak bercakap.....
Bagi kanak-kanak 2-3 tahun, permainan pastilah yang paling utama dalam aktiviti harian.
Bagaimana ibubapa boleh gunakan
mainan untuk melatih anak bercakap?
1) Pilih mainan yang tepat.
Pilih mainan yang memberi kesan menarik untuk kanak-kanak, tapi sebenarnya sukar untuk dilakukan.
Ini menyebabkan mereka terpaksa minta tolong ibunya buatkan.
Maka, akan terhasillah ayatPilih mainan yang memberi kesan menarik untuk kanak-kanak, tapi sebenarnya sukar untuk dilakukan.
Ini menyebabkan mereka terpaksa minta tolong ibunya buatkan.
- “mama, buat ni”
- “nak lagi”
- “nak pakai jam”
- “camana ni”
- “tak leh pun”
- “mama buka la”
- “mama la buat”
- “nak mama buatkan”
- “nak bagi dia jalan @ pusing @ ada lampu”
- “ketat la, tak leh pusing pun.”
2) Buang bateri.
Ada beberapa jenis mainan yang mempunyai bateri. Apabila kita switch on, maka mainan tu pun gerak sendiri, berbunyi sendiri. Ini menyebabkan kanak-kanak tidak berdikari. Dia hanya buat benda mudah iaitu – tengok dan dengar saja. Kalau tiada bateri, maka dia kena buat.
Contoh permainan begini ialah keretapi. Jika tiada bateri, maka dia menggunakan imaginasinya dan pergerakkan tangannya untuk menggerakkan keretapi itu ke mana saja yang dikehendakinya. Sebagai ibu bapa, kita mestilah ambil giliran semasa bermain dengan anak. Maka terhasillah respon begini:
- “Ilman pulak”
- “Keretapi ni Ilman punya”
- “Lalu kat atas sini”
- “Langgar lembu ni”
- “Masuk bawah jambatan”
- “Pusing”
- “Pusing lagi”
- “Ayam naik, lembu naik, itik naik”
- “1,2,3, jalan….”
Pernah nampak mainan penguin turun slide kat kedai mainan? Kalau ada bateri, maka anak akan tengok sajalah. Cuba kalau buang bateri. Ibu bapa pula mestilah bijak merangsang percakapan anak. Jangan ibu bapa pun tahu tengok saja.
Pantang larang:
- TV mestilah ditutup semasa aktiviti bermain. TV bukan saja mengganggu tumpuan anak, malah TV mengganggu tumpuan ibu bapa terhadap anak mereka sendiri.
- ayat soal. “ni apa?” “dia buat apa?” “ni warna apa?” “ni bentuk apa?”. Sila rujuk artikel saya berkenaan ‘Banyakkan ayat penyata’.
Selamat mencuba.
Ruby Speech Therapy
sms @ whatsapp 0133109703
Khamis & Jumaat : Permatang Pauh.
Sabtu & Ahad : Sungai Petani.
Latih bercakap dari umur setahun
Anak umur setahun kebiasaannya baru nak bertatih atau mungkin baru mula berjalan.Mereka sibuk nak explore dan mengutip barang-barang yang dijumpai. Lebih membimbangkan ialah mereka kutip, masuk dalam mulut.
Ada ibu bapa yang tak sabar nak dengar anak mereka bercakap. Tak sabar nak dengar anak panggil ‘mama’, ‘ummi’, ‘ibu’, ‘mak’ dan sebagainya.
Ada kanak-kanak yang amat cepat mengeluarkan perkataan pertama. Umur 1:06 sudah boleh menyebut mama, abah. Tapi ada juga yang agak lewat, umur 1;08 baru nak sebut mama.
Pada usia setahun, kanak-kanak mula membuat bunyi bebelan seperti ‘bababa’ atau ‘dadada’. Dia bermain-main dengan anggota mulut dan lidahnya sendiri dan dengar suaranya sendiri.
Ini adalah perkembangan fitrah kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang tiada masalah pendengaran, bebelan ini akan berkembang menjadi perkataan. Tapi bagi kanak-kanak yang ada masalah pendengaran, bebelan akan berhenti begitu saja (bergantung pada keterukkan masalah pendengaran yang dialami).
Pada peringakat umur setahun juga, kanak-kanak memahami konsep interaksi 2 hala. Sebab itulah permainan ‘aum cak’ dan ‘agah-agah’ amat digemari oleh kanak-kanak pada usia begini. Ini kerana interaksi melibatkan konsep tunggu, lihat dan dengar, kemudian muncullah hasilnya.
Kanak-kanak yang mengalami autism kebanyakkannya tidak memahami interaksi sebegini. Mereka lebih gemar bersendirian. Di negara kita, saringan autism dibuat di klinik kesihatan dengan menggunakan MChart semasa ibu bawa anak untuk dapatkan suntikan pada usia 1;06. Melalui saringan MChart, kanak-kanak yang mengalami autism dapat dikenalpasti dengan lebih awal dan membolehkan intervansi awal dilakukan. (Rozila bt Sumardi, SLP Hosp Sg Buloh)
Ramai ibu bapa yang bertanya, apa yang perlu dibuat untuk melatih anak bercakap seawal usia setahun?
1) katakan TIDAK kepada tv, hp, permainan tablet touch screen. PANTANG bagi kanak-kanak usia setahun.
- nak bagi juga, itu hak masing-masing. Saya cuma mampu beritahu apa yg saya tahu saja.
2) Nyanyi sambil bergaya. Kalau nyanyi lagu kucing, buat gaya kucing (misai di pipi), kalau lagu lembu, buat gaya lembu (tanduk di kepala).
3) Ajar tunjuk. Anak usia setahun amat mahir menunjuk apa saja yang menarik minatnya. Latih dia tunjuk anggota badannya atau tunjuk orang-orang yang sering ada disekelilinganya.
4) Latih anak ikut arahan. Contohnya minta anak ‘bagi bantal kat ayah’, atau ‘tutup pintu’, atau, ‘ambil kasut’ atau ‘simpan dalam bakul’.
5) Sentiasa beri pilihan. Nak bola atau belon? nak cawan biru atau hijau? nak baju bunga atau baju riben? nak tuala putih atau belang-belang? nak pakai bedak atau nak sikat?
- sambil tunjuk, sambil tanya. jangan cakap atas angin. ingat, dia baru umur setahun.
6) Biasakan bercakap sambil tunjuk isyarat mudah. Contohnya bila kita sebut ‘sedap’, kita buat isyarat ibu jari. Bila kata ‘habis’, kita buat kibas tangan. Bila kata ‘letak’, kita tunjuk jari ke bawah. Bila kata ‘busuk’, kita buat kibas tangan di hidung.
7) Bercakap semasa anda ‘proses’ anak anda, termasuk ketika mandi, pakai baju, basuh tangan, makanan tumpah, kutip mainan bersepah, sikat rambut, letak bedak dan sebagainya.
Ramai ibu bapa yang ‘nak cepat’, ‘banyak benda lain nak buat’, ‘letih balik kerja’ dan macam-macam hingga terlepas pandang bab yang amat penting ini.
8) Gunakan intonasi yang pelbagai, menggunakan ayat pendek dan sebutan yang jelas.
9) Hargai sebarang usaha yang ditunjukkan oleh anak untuk berinteraksi. Lihat memek mukanya dan cuba fahami kehendaknya.
Nak Rangsang Anak Bercakap.
Ramai ibu bapa yang bertanya kepada saya bagaimana nak bantu percakapan anak. Maka di sini saya huraikan langkah paling asas yang mesti ada bagi setiap ibu bapa. Teorinya mudah, tapi nak praktikalnya itu, anda cuba dulu baru tahu.Kebiasaannya ibu bapa suka melihat anaknya berjaya melakukan sesuatu yang dikehendakinya.
“cuba nyanyi abc sikit”
“macam mana tepuk tangan?”
“bagi mama warna merah”
Salah satu kemahiran yang jarang-jarang dikuasai oleh ibu bapa ialah kemahiran memerhati.
Ia menjadi sukar kerana kebanyakkan ibu bapa tak boleh nak menahan sabar. Tak boleh nak diam, duduk, dengar dan tengok saja.
Ada ketika kita mesti mengajar anak kita untuk buat begitu dan begini. Selepas kita ajar, kemudian sila bertenang dan perhatikan bagaimana jika anak buat sendiri.
Dalam aktiviti buku cerita contohnya, cuba jika ibu bapa perhatikan betul-betul.
1) arah pandangan mata
- adakah dia melihat gambar tertentu
2) perbuatan
- adakah dia menunjuk atau cuba membuka muka surat lain.
3) keinginan interaksi
- adakah dia cuba untuk bertanya, memanggil anda untuk sama-sama lihat.
4) percakapan
- jika dia ada menyebut bunyi @ perkataan @ ayat tertentu.
Kebanyakkan ibu bapa hanya nak dengar anaknya bercakap. Maka sebab itulah ibu bapa kerap bertanya soalan, dengan harapan agar anak bercakap untuk jawab soalan.
Jika anda gagal untuk membuat pemerhatian yang baik, maka automatik anda gagal untuk merangsang percakapan anak anda.
Contoh paling mudah, jika suami tengah tengok perlawanan bola, tiba-tiba isteri bertanya tentang kain langsir. Maka adakah anda menjangkakan perbualan dapat berlaku? Jika suami menjawab pun, setakat ala kadar saja, “ha ah, ok, yelah, tak tau lah”.
Maka begitulah konsepnya untuk merangsang anak anda bercakap. Anda mesti benar-benar perhati, apa yang dia sedang lihat, apa yang dia cuba sebut dan apa yang dia sedang minat pada ketika itu.
Tidak kiralah ketika aktiviti buku cerita, main bola, tengok tv, cedok air bubuh dalam botol, main masak-masak, main pedang jadi ultraman, main lego, susun bantal, apa-apa saja.
Ada ibu bapa yang nak jadi ketua, walaupun dalam permainan kanak-kanak. Maka kanak-kanak disuruh buat begitu dan begini.
Kemudian tahu pula untuk kata, “Anak saya ni dia nak buat cara dia ja. Tak mau ikut apa yang kita ajar”.
Cuba jika anda biarkan anak anda yang jadi ketua, anda ikut saja rentak dia sambil perhatikan tingkah lakunya. Maka saya yakin anda akan lihat suatu sudut yang berbeza dari segi:
1) kebolehan anak untuk memberi tumpuan bersama dengan ibu bapa.
2) respon yang ditunjukkan oleh anak dari segi interaksi dua hala.
Tahukah anda, dengan hanya memerhati, memandang dengan gaya muka yang menunggu respon dan diam, maka anda sebenarnya mewujudkan suatu peluang interaksi kepada anak anda?
Bercakap ikut situasi.
Bagi kanak-kanak yang petah bercakap, mereka menyerap bahasa yang didengar dan menyebut dengan mudah.Ramai ibu bapa yang tak sedar pun bagaimana proses anak mereka belajar bercakap. Tiba-tiba saja anak mereka dah boleh cakap macam-macam.
Namun bagi kanak-kanak yang ada masalah untuk bercakap, ibu bapa mestilah tahu strategi untuk ajar anak bercakap. Jika selama ini strategi ibu bapa ialah ‘ni apa? dia buat apa? ni bentuk apa? bilang 1,2, 3, sebut’
maka ibu bapa perlu pertimbangkan untuk tukar kepada strategi lain.
Mengajar anak bercakap bukanlah seperti mengajar subjek akademik. Kemahiran komunikasi melibatkan perbualan harian antara ibu bapa dan anak.
Di sini saya senaraikan contoh ayat @ ujaran yang selalu digunakan oleh kanak-kanak:
1) meminta sesuatu
- mama, nak main
- mama, nak susu
2) ingin perhatian
- tengok ni mama, tengok ni.
3) menyatakan hak
- ni adik punya. ni abang punya.
4) menyatakan giliran
- adik pulak.
5) menafikan
- jangan la…
- tak boleh
6) membuat penerangan
- kereta adik besar.
- boleh terbang tinggi.
7) membandingkan
- kereta adik besar, kereta abang kecil.
- adik punya yang merah, abang punya biru.
8) mengadu
- mama, abang buat.
- tengok abang tu, buat adik.
9) tanya soalan
- mama nak pergi mana?
- tu apa?
- sebab apa tak boleh?
10) memberi arahan
- mama, tolong pegang sat.
- mama, tolong buat ni.
Manusia menggunakan bahasa dengan kemahiran pragmatik iaitu sesuai dengan situasi tertentu.
Maka untuk melatih anak bercakap, ibu bapa mestilah mewujudkan situasi. Tanpa situasi, anda hanyalah memaksa anak untuk bercakap. Tetapi bukan komunikasi dua hala.
Sebab itulah saya kata tadi, mengajar anak bercakap tak sama seperti mengajar subjek akademik.
Seterusnya, bagaimana pula nak mewujudkan situasi?
Ia adalah situasi harian anda di rumah anda sendiri. Dari anak bangun pagi, sehinggalah waktu dia tidur.
Kesimpulannya, luangkan masa anda untuk bercakap dengan anak. Perlahankan masa rutin harian dan hadapi anak anda. Jika anda mengejar rutin harian di rumah, sampai bila pun tak berkesudahan. Tapi kanak-kanak pula hanya sempat jadi kanak-kanak sekali sahaja seumur hidupnya.
Selamat berusaha.
No comments:
Post a Comment